Segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (saw).

Penyenaraian hak asasi manusia seperti yang terkandung di dalam Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 adalah usaha Barat untuk menjaga hak individu, berlatar- belakangkan trauma perang dunia kedua. Kewujudan suatu dokumen menjadikannya piawaian mengukur prestasi. Penafian hak atau pengabaian akan terus terserlah sebagai pelanggaran.

Umumnya kebanyakan perkara yang diutarakan oleh UDHR tidak bertentangan dengan Islam. Walaupun berbeza sumber penentuan hak, rumusan kerap tidak lari jauh. Perbezaan kerap timbul dari sudut had.

Islam memberi imbangan; menjelaskan hak dan menetapkan had kepada kebebasan individu. Individu adalah penting dan dia digalak mendahulukan dirinya dalam beramal. Dia akan dibangkit untuk dihisab sendirian. Dia mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Dia diajar taat kepada pemimpin kecuali dalam maksiat; dia dididik akur kepada keputusan syura. Manusia adalah individu, yang menganggotai keluarga, yang menjadi sebahagian masyarakat, yang hidup di dunia, yang menjadi satu unit dalam alam semesta, dan yang dicipta oleh Allah. Definisi kebebasan dan oleh itu, hak dan tanggungjawab manusia tidak hanya bersempadankan hak dan kebebasan orang lain seperti yang diterakan oleh Perkara 29, UDHR. Manusia ada hubungan dan tanggungjawab kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya, bumi, alam semesta dan Penciptanya.

Selain daripada perbezaan world-view, perkara-perkara berikut menyerlahkan perbezaan di antara UDHR dengan Islam adalah:

  1. hukuman mati dan hukum hudud lainnya (Perkara 3 & 5)
  2. kebebasan menukar agama (Perkara 18)
  3. isu kedudukan wanita (Perkara 2) terutamanya dari sudut:
    • persamaan hak dalam faraid
    • persaksian wanita
    • amalan-amalan masyarakat seperti sikap terhadap pendidikan anak perempuan, berkhatan dan sebagainya
  4. perkahwinan silang-agama, mungkin juga sama seks (Perkara 16)
  5. kebebasan bersuara (Perkara 19)
  6. isu status orang bukan Islam dalam negara Islam (Perkara 21)

Objektifnya adalah membina masyarakat yang sejahtera di mana individu boleh mengembangkan sepenuhnya potensi dirinya. Masyarakat yang sejahtera hanya akan terbina jika cara hidup yang diamalkan menepati fitrah manusia (human nature). Cara hidup yang menepati fitrah manusia hanya datang dari Allah.

Menjadi tugas kita untuk memahami, menghayati dan menyebarkan kefahaman yang tepat tentang keluasan hak dan tanggungjawab individu serta masyarakat dalam Islam.

Selamat berseminar.
Semoga diberkati Allah.

Zaid Kamaruddin
Presiden JIM

 

Design by imedia production for JIM-KL. Development by JIMedia. © JIMedia
Best Experience: Mozilla Firefox 1280x1024