|
Segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (saw).
Seminar ini merupakan satu lagi usaha untuk menempatkan kedudukan hak asasi manusia dalam Islam pada tempatnya. Isu kedudukan dan peranan wanita, erti kebebasan beragama, kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan dan tahanan tanpa bicara adalah di antara isu-isu yang sentiasa menjadi perbincangan. Kerap Islam menjadi sasaran kerana dianggap bertentangan dengan hak asasi manusia.
Seminar selama dua hari ini akan cuba mengemukakan ruang kefahaman dan perbincangan yang berbeza. Ini adalah kerana ia bukan sahaja melihat konteks hak asasi manusia dalam Islam daripada kaca mata falsafah dan konsep tetapi juga aplikasi dan pengamalannya.
Sesungguhnya usaha-usaha kesedaran, penghayatan dan penyebaran kefahaman yang tepat tentang keluasan hak dan tanggungjawab individu serta masyarakat dalam Islam perlulah sentiasa disokong dan diberikan galakkan.
Oleh itu, saya berharap Seminar ini akan membuka lebih banyak peluang untuk kita meningkatkan usaha-usaha itu dan menggalakkan semua pihak termasuk yang bukan Islam melihat hak asasi manusia dalam konteks yang lebih meluas.
Bagi pihak JIM, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran dan minat peserta sekelian terhadap seminar ini. Ucapan terima kasih tidak terhingga juga kepada barisan pembentang kertas kerja, ahli-ahli panelis dan moderator serta Ahli Jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan seminar. Seminar ini juga merupakan kesinambungan kepada seminar Hak Asasi Manusia peringkat nasional yang dianjurkan oleh JIM pada tahun 2006. Semoga segala usaha itu diberkatiNya.
Selamat berseminar. Semoga diberkati Allah.
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Jawatankuasa Siasah Syar’iyyah dan Keadilan Sosial (SAKSI)
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) |